Saturday, May 21, 2016

3 am

Jam menunjukkan pukul 3 pagi.

Aku terjaga seperti selalu. Walau tidak lagi menyusukan anak lagi atas nasihat doktor. Namun tilamku terasa basah seperti terkencing. Aku sentuh kebasahan itu.

Allahu akbar.

Darah! Ianya darah! Bukan kesan kencing anak anakku yang sedang lena tidur. Jantungku berderau apabila bau darah mula menusuk hidungku.

"Mama. Mama. Bangun ma. Tolong buka lampu. Kakak rasa basah ni ma."

Mama bangkit membuka lampu ruang tamu. Mama juga terperanjat melihat darahku yang tumpah begitu banyak di atas tilam.

"Kakak, awak ada rasa sakit ke sayang?"

"Tak ma. Kakak okey. Tak sakit langsung. Mungkin kita boleh tukar seluar dan pakai pad? Tapi kakak tak berani bangun. Takut darah keluar lagi."

Mama akur dengan permintaanku.

Tetapi sekali lagi darah keluar membanjiri tilam, bocor pad baru yang mama sarungkan sebentar tadi.

" Ya Allah! Kakak! Banyak sangat dah darah ni. Kita kena pergi hospital sekarang." Aku dapat rasakan panik dalam suara mama waktu itu.

Jariku sendiri terketar ketar menekan nombor rakan rakanku yang bekerja di hospital berdekatan. Namun semuanya tiada jawapan. Mungkin sedang tidur. 3 pagi lah!

Aku tak mungkin berani memandu di saat ini. Mama juga sedemikian. Anak kecilku berdua sedang lena diulit mimpi.

Pilihan terakhir untuk kecemasan ini. 999. Dengan tenang aku menerangkan situasi kesihatanku kepada petugas kecemasan.

"Encik, saya minta tolong encik datang tanpa bunyikan siren kecemasan. Anak anak saya sedang tidur. Kalau mereka terjaga lagi kacau keadaan nanti. Terima kasih banyak ya. Jangan risau sebab saya tak rasa sakit langsung ni. Assalamualaikum."

3 minit kemudian, ambulans pantas tiba di perkarangan rumah, mama menanti di luar pagar melambai mereka. Aku memandang sayu wajah dua anak ini. Maafkan ummi anak anak, ummi harus pergi seawal ini tinggalkan kalian dalam jagaan nenda. Entah bila ummi akan kembali. Ummi tak pasti.

Petugas kecemasan melakukan pekerjaan mereka dengan cekap sekali. Begitu mudah mencari uratku untuk memasang butterfly valve. Namun mereka tidak dapat membawa aku keluar dengan stretcher kerana kereta di parkir depan menghalang laluan kami. Aku dipapah berjalan.

Dan aku dapat rasakan, darahku mengalir tanpa henti di setiap langkahku menuju ambulans.

***************************

"Puan, puan sudah hubungi suami pesakit?" Tanya pemandu ambulans padaku. Aku menggeleng.

"Pada pengalaman saya, lebih baik puan hubungi suami pesakit sekarang juga. Tak lama dah ni."

Ya Allah.
Apakah nasib yang menimpa anakku?
Kenapa kami diuji sebegini rupa?
Anakku sayang, mama tak mampu menghantarmu ke hospital.
Mama tak mampu menemankanmu di sana.
Tapi doa mama sentiasa bersamamu, anak.
Moga engkau selamat dan cepat sampai.
Mama akan jagakan cucu cucu mama berdua ini seperti nyawa mama sendiri.
Janganlah engkau risau, sayang.

Seusai melihat jasadmu diusung masuk ke dalam ambulans, pintu ditutup, robek hatiku.

Ya Allah, selamatkan anakku.
Aku mohon selamatkan dia dan kandungannya.

"Hello... awak kat mana dah? Mama nak bagitahu ni..."

*****************************

Sejurus sampai di hospital, sekumpulan petugas sedia menunggu di lobi menyambutku dan mengalih kedudukanku ke katil sorong lain untuk diusung ke bahagian kecemasan.

Tanpa sempat bertanya, jubahku yang basah dengan darah digunting dan tubuhku ditutup dengan kain hospital.

"Puan, puan tak pernah buat check up di mana mana klinik kerajaan? Puan tak ada buku pink? Puan tahu tak betapa seriusnya kondisi puan sekarang? Kenapa puan tak warded dari dulu lagi?" Omel seorang doktor di bahagian kecemasan sambil menyemak buku rekod 'tak-pink' aku itu. Geram mungkin, kerana aku hanya buat follow up di hospital swasta tetapi apabila kecemasan aku memilih hospital kerajaan pula.

Kalau bukan kerana terpaksa.
Aku takkan dail 999. Sungguh.
Hanya tadahkan sahaja telinga sepanjang pagi itu dengan setiap petugas yang rata rata cukup marah dengan 'kenipisan' info di dalam buku rekod tersebut.

"32 weeks 5 days.
PP type 3 or 4. Cek balik."

"Puan, kami nak buat vaginal inspection ya."

Whatttt? Bukankah bila PP dah tak boleh buat macam tu? Aku tahu ia bakal menyakitkan. Aku menggigil membayangkan speculum atau mulut itik itu semasa papsmear awal tahun. Tetapi aku bukan doktor. Aku diamkan saja.

"Puan ada terjatuh ke? Atau ada buat aktiviti lasak yang initiate pendarahan puan ni? Puan sepatutnya bedrest tak boleh ke tandas pun." Aku geleng geleng sahaja.

"Puan rasa berapa banyak darah yang tumpah tadi? Kalau puan kira pakai pad, berapa agaknya bilangan pad yang puan guna?" Aku dah mula pening kepala dengan berbagai soalan.

"10 pad. Penuh kalau perah. Rasanya begitu."

"Banyak tu puan. Tapi untuk kes PP memang selalu macam tu. Baiklah, puan rehat dulu, pendarahan puan sudah berhenti. Sudah tidak aktif. Alhamdulillah."

Jam sudah pukul 545 pagi.

Aku lega kerana masih merasa pergerakan bayi. Alhamdulillah. Mungkin inilah permulaan episod warded PP ku sehingga cukup bulan nanti. 8 minggu lagi, sayang. Bertahan ya.

Tepat pukul 730 aku dipindahkan ke labor room. Contraction dikatakan tinggi dan kerap. Tapi aku tak rasa apa apa. Ini anak ketiga, bukanlah aku tidak tahu contraction sakitnya bagaimana.

Ya kali ini aku jadi cemas.
Aku tak sedia untuk dibedah.
Kedua anakku lahir secara normal.
Aku amat takut pada jarum suntikan apatah lagi pembedahan.

Doktor pakar pula datang melihat keadaanku. BP sangat rendah. Sangat rendah.

"Maam. Are you okay? Or feeling dizzy? You have lost so much of bloods." Aku hanya tersenyum menunjukkan bahawa aku okey.

"Doc, if the bleeding episode have stopped, i dont have to undergo surgery today right? Im not ready."

"Puan banyakkan berehat. Tenang. Kita utamakan kondisi puan dan bayi. Lagipun bayi baru mencecah 32 minggu. Selagi boleh bertahan, kita tahan sehingga bayi betul betul matang. Kami bagi suntikan untuk matangkan paru paru bayi ya."

Aku hanya berehat dan berzikir. Tak mampu lagi mencapai telefon. Kepalaku terasa berpusing.

Debaran memuncak kerana tiba tiba aku rasakan cecair panas mula keluar semula tanpa henti.

"Doktor! Nurse! Please come here!"

Selang beberapa ketika mereka tiba. Darah telah mengalir membanjiri labor room ini.

"Maam. May i know if your husband is here?" Doktor pakar meminta nombor telefon suamiku.

"Hello. By kat mana?" Aku tak mampu lagi menyambung percakapan. Pandanganku bertukar hijai biru. Aku tahu aku hampir pitam. Tetapi aku lega kerana dia sudah ada di pintu labor room.

"Zakiah, do you have any patient right now? We are sending one for emergency procedures. She lost a lot of blood."

Ya Allah.
Inikah detiknya?
Aku tak bisa berbuat apapun.
Hanya terbaring pejamkan mata.
Diusung ke bilik pembedahan pula.

Selebihnya aku berserah pada Allah.
Moga bayiku ini dapat diselamatkan.
Ummi mohon keampunan sayang, kerana tidak mampu membawamu cukup 40 minggu.